Make your own free website on Tripod.com

Parti Sosialis Malaysia - Click for Home

UNDANG UNDANG PERTUBUHAN

PARTI SOSIALIS MALAYSIA

(SOCIALIST PARTY OF MALAYSIA)

KANDUNGAN

Pendahuluan

FASAL 1 NAMA

FASAL 2 ALAMAT

FASAL 3 BENDERA DAN LAMBANG

FASAL 4 TUJUAN DAN MATLAMAT

FASAL 5 KEAHLIAN

FASAL 6 YURAN KEAHLIAN

FASAL 7 HAK DAN TANGGUNGJAWAB AHLI

FASAL 8 BERHENTI DAN PEMECATAN AHLI

FASAL 9 TINDAKAN DISIPLIN

FASAL 10 KONGRES NASIONAL

FASAL 11 JAWATANKUASA PUSAT DAN SEKRETARIAT

FASAL 12 TUGAS AHLI JAWATANKUASA PUSAT DAN SEKRETARIAT

FASAL 13 CAWANGAN

FASAL 14 TUGAS AHLI JAWATANKUASA CAWANGAN

FASAL 15 KEWANGAN

FASAL 16 PEMERIKSAAN KIRA-KIRA

FASAL 17 TAFSIRAN UNDANG-UNDANG

FASAL 18 PINDAAN UNDANG-UNDANG

FASAL 19 MEMBUBARKAN PARTI

 

UNDANG UNDANG PERTUBUHAN

PARTI SOSIALIS MALAYSIA

(SOCIALIST PARTY OF MALAYSIA)

 

Pendahuluan

Parti Sosialis Malaysia atau Socialist Party of Malaysia adalah parti politik rakyat Malaysia yang berasaskan prinsip dan ideologi sosialisme yang bersifat perjuangan rakyat berteraskan keadilan sosial dan ekonomi; bagi mewujudkan masyarakat demokratik yang aman, makmur, maju, berakhlak mulia dan saksama. Ia berjuang untuk memenuhi keperluan asas rakyat dan membebaskan rakyat daripada sebarang bentuk penindasan dan pemaksaan.

FASAL 1 NAMA

Nama parti ialah Parti Sosialis Malaysia atau PSM dan dalam Bahasa Inggeris sebagai Socialist Party of Malaysia atau SPM, dan seterusnya disebut sebagai "Parti".

FASAL 2 ALAMAT

Alamat dan ibu pejabatnya ialah di No 72B, Taman Sri Langat, Jalan Reko, 43000 Kajang, Selangor Darul Ehsan atau di mana-mana tempat yang ditentukan oleh Jawatankuasa Pusat Parti dari semasa ke semasa dan dipersetujui oleh Pendaftar Pertubuhan terlebih dahulu.

FASAL 3 BENDERA DAN LAMBANG

Lambang parti ialah genggaman tangan kiri yang melambangkan perpaduan rakyat dan semangat perjuangan. Bendera parti berlatarkan warna merah dan ditengahnya gambar genggaman tangan berwarna putih. Merah melambangkan perjuangan dan putih melambangkan kesucian dan keikhlasan dalam perjuangan. Lambang parti adalah seperti berikut

 

FASAL 4 TUJUAN DAN MATLAMAT

    1. Mengamalkan prinsip sosialisme sebagai cara hidup.
    2. Mempertahankan masyarakat demokratik dan progresif yang mengutamakan kerohanian, kemanusiaan dan keadilan sebagai asas ke arah pembangunan.
    3. Memastikan strategi pembangunan yang mewujudkan hubungan seimbang di antara keperluan sosial dan ekonomi di peringkat individu, masyarakat dan nasional.
    4. Mengagihkan kekayaan secara adil dan saksama;
    5. Memastikan tahap akhlak dan agama yang tinggi sebagai benteng terhadap penindasan, penyelewangan dan penyakit sosial yang lain.
    6. Melaksanakan sistem sosioekonomi yang mempunyai mekanisme dalaman untuk menghalang penindasan dan sifat tamak.
    7. Memberi peluang kepada rakyat berbilang kaum, jantina, agama, usia, pekerjaan dan daerah serta negeri untuk menyertai proses pembentukan ideologi dan pembinaan semula keutamaan-keutamaan nasional agar wujud persefahaman yang lebih jitu di kalangan kaum, agama dan budaya.
    8. Mengukuhkan hak asasi manusia pada setiap peringkat masyarakat dan mendedahkan sebarang bentuk penindasan, nepotisme, hipokrasi dan kepalsuan.
    9. Menghormati Perlembagaan Persekutuan yang menekankan kepada hak demokratik dan toleransi bahasa, budaya dan agama.
    10. Menjamin kebebasan bersuara, berpersatuan dan kecapaian intelektual
    11. Memberi keutamaan dalam tanggungjawab sosial terhadap kebajikan pekerja dan keluarga mereka serta keperluan masyarakat terutamanya keselamatan, gaji, rumah dan pemilikan tanah, kemudahan asuhan kanak-kanak, kesihatan, pendidikan, infrastruktur dan sebagainya
    12. Menyediakan latihan serta latihan semula yang digabungkan dengan program pendidikan untuk membolehkan penguasaan kemahiran yang lebih baik dan menyedarkan pekerja terhadap hak dan tanggungjawab sosial, politik dan ekonomi mereka kepada masyarakat dan negara.
    13. Menjaminkan hak pekerja untuk menubuhkan kesatuan sekerja yang menjangkau jenis dan bidang pekerjaan serta menggubal undang-undang yang melindungi hak pekerja serta menyediakan suasana pekerjaan yang sesuai agar menjadikan kerja itu sebagai sesuatu yang lebih bermakna dan menggembirakan.
    14. Memberi keutamaan kepada kumpulan khas dalam institusi kekeluargaan khususnya wanita yang mengandung dan menyusukan anak, bayi dan kanak-kanak, wargatua dan mereka yang kurang berkeupayaan.
    15. Mewujudkan keseimbangan di antara pembangunan pertanian dan industri agar tidak tertumpu kepada kawasan yang tertentu sahaja dan menggalakkan integrasi antara sektor-sektor ekonomi.
    16. Memastikan tidak berlaku penindasan dan diskriminasi di semua peringkat bagi sektor perindustrian dan pertanian, iaitu daripada peringkat pernghasilan bahan mentah sehingga kepada peringkat pemerosesan (iaitu pengeluaran, pemasangan dan pembinaan), pemasaran dan perkhidmatan. Usaha perlu dilaksanakan untuk menghalang penindasan dan diskriminasi agar tidak memberi kesan buruk kepada hubungan sosial di tempat kerja, keluarga dan masyarakat.
    17. Mewujudkan rasa saling menghormati, memahami dan bertolak ansur di kalangan semua agama dan budaya dan menyediakan peluang pengajian agama bagi semua kaum untuk mengukuhkan nilai kerohanian dan akhlak.
    18. Menyediakan peluang pendidikan percuma di semua peringkat dengan mewajibkan pendidikan di peringkat rendah dan menengah, dan membuat perancangan sosioekonomi untuk memastikan wujudnya peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang.
    19. Memastikan penyertaan guru dan pelajar dalam proses menentukan haluan sistem pendidikan nasional.
    20. Melindungi alam sekitar daripada pencemaran dan pembinasaan dengan mengadakan usaha untuk mendampingi alam semulajadi dan menyediakan gantian yang setimpal terhadap sesuatu tindakan perubahan rupa bumi yang tidak dapat dielakkan.
    21. Menyediakan pilihan dalam pengunaan teknologi yang bersesuaian untuk membangunkan sumber negara selaras dengan kehendak rakyat
    22. Mengurangkan birokrasi dan menghapuskan karenah birokrasi (red tape) yang mengekang pembangunan birokrasi hanyalah dianggap sebagai alat untuk mengurus dan memudahkan pentadbiran bagi mencapai matlamat mengikut satu jangkamasa yang ditetapkan.
    23. Melaksanakan kegiatan yang dapat meluaskan matlamat parti seperti:

    1. Mewujudkan perbagai biro secara berperingkat
    2. Bertanding dalam pilihanraya di semua peringkat
    3. Menerbitkan bahan bacaan dan audio-video bagi meluaskan penerangan mengenai Parti dan maklumat yang selaras dengan perjuangan Parti dengan syarat mendapat kebenaran dari pihak berkuasa terlebih dahulu
    4. Mendapatkan sumber kewangan bagi keperluan Parti
    5. Bergerak bersama pertubuhan-pertubuhan yang mempunyai cita-cita dan hasrat yang selaras dengan perjuangan Parti.

 

FASAL 5 KEAHLIAN

    1. Terbuka kepada setiap rakyat Malaysia, berumur 18 tahun atau lebih, tanpa mengira kaum, jantina, warna kulit atau agama, yang sanggup berkhidmat bersama rakyat, khususnya golongan bawahan serta yakin dan mengamalkan prinsip dan cita-cita Parti, dan tidak menjadi ahli mana-mana parti politik lain, adalah layak untuk menjadi ahli Parti.
    2. Ahli Parti adalah seorang yang menerima cita-cita, prinsip dan program Parti sebagaimana yang tercatat dalam Perlembagaan dan diluluskan oleh Jawatankuasa Pusat, sentiasa menyertai mesyuarat, aktif dalam kegiatan Parti, sentiasa membayar yuran dan berusaha memahami dan menyelesaikan masalah rakyat.
    3. Borang permohonan keahlian boleh diperolehi daripada Cawangan atau Ibu Pejabat Parti. Pemohon perlu mengemukakan borang keahlian yang disahkan oleh sekurang-kurangnya dua ahli parti. Setiap permohonan perlu dikemukakan kepada Setiausaha Cawangan bersama yuran masuk dan yuran tahunan bagi tahun berkenaan.
    4. Setiap permohonan akan dibentangkan dalam mesyuarat Cawangan dan keputusan akan diumumkan kepada pemohon dalam masa 30 hari selepas penerimaan permohonan.
    5. Jika permohonan ditolak ataupun tiada sebarang jawapan daripada Cawangan dalam tempoh 30 hari, pemohon boleh merayu kepada Jawatankuasa Pusat. Sebarang keputusan Jawatankuasa Pusat adalah muktamad.
    6. Bagi kawasan yang tidak mempunyai Cawangan, permohonan boleh dikemukakan terus kepada Jawatankuasa Pusat. Sebarang keputusan Jawatankuasa Pusat adalah muktamad.

 

FASAL 6 YURAN KEAHLIAN

    1. Yuran tahunan ahli ialah sepuluh ringgit (RM10) setiap tahun dan yuran masuk adalah lima ringgit (RM5).
    2. Setiap ahli perlu membayar yuran tahunan pada atau sebelum 7 Februari.

 

FASAL 7 HAK DAN TANGGUNGJAWAB AHLI

    1. Setiap ahli Parti berhak dan bertanggungjawab menyertai proses Parti menggubal dasar dan pemilihan jawatankuasa, sebagaimana yang ditetapkan oleh Perlembagaan. Ahli berhak mengundi bagi penggubalan dasar dan pemilihan pemimpin, jawatankuasa dan perwakilan.
    2. Selepas perbincangan di peringkat Cawangan, Jawatankuasa Pusat dan Kongres Nasional, setiap ahli bertanggungjawab melaksanakan keputusan yang ditetapkan.
    3. Semua ahli bertanggungjawab menjalin hubungan dengan semua lapisan rakyat, khususnya golongan bawahan, bagi membantu dan berdialog dengan mereka serta menjelaskan cita-cita dan prinsip Parti.
    4. Semua ahli harus berusaha memahami dengan lebih mendalam keadaan politik, ekonomi dan sosial semasa, dengan berteraskan analisis sosialisme, iaitu usaha menyelesaikan masalah rakyat demi mewujudkan masyarakat yang lebih adil dan saksama.

 

FASAL 8 PERHENTIAN DAN PEMECATAN AHLI

    1. Menjadi ahli tanpa mengikut saluran sah - Jika Jawatankuasa Pusat mendapati ahli tidak mengikut saluran yang sah dan kemudian menjadi ahli, maka keahlian ahli berkenaan adalah terbatal.
    2. Meletak jawatan/Keluar parti - Ahli boleh pada bila-bila masa memberi notis bertulis kepada Setiausaha Cawangan memaklumkan perletakan jawatan/keluar parti. Jawatankuasa Cawangan berhak mengambil tindakan mahkamah, jika perlu, untuk mendapatkan semula sebarang dokumen, wang, barang-barang atau gantian kerosakan harta Parti daripada ahli berkenaan.
    3. Kematian - Ahli yang meninggal dunia dianggap berhenti menjadi ahli.
    4. Pemecatan - Ahli yang dipecat mengikut Fasal 9 dianggap berhenti menjadi ahli.
    5. Tidak membayar yuran - Ahli yang gagal membayar yuran dalam masa yang dibenarkan mengikut Fasal 6 dianggap berhenti menjadi ahli.
    6. Menjadi ahli parti politik yang lain - Ahli yang menjadi ahli parti lain atau sudah menyertai parti lain dianggap berhenti menjadi ahli.

 

 

 

 

FASAL 9 TINDAKAN DISIPLIN

    1. Sebuah Jawatankuasa Tatatertib yang dianggotai oleh lima (5) ahli parti yang bukan Ahli Jawatankuasa Pusat perlu dipilih oleh Kongres Nasional setiap tahun. Jawatankuasa Tatatertib mempunyai kuasa untuk menggantung mana-mana ahli atau Cawangan bagi sebarang tindakan yang dianggap menjejaskan Parti atau nama Parti sementara menunggu keputusan siasatan.
    2. Jawatankuasa Tatatertib mempunyai kuasa menggantung mana-mana ahli, Cawangan, Bahagian atau Pentadbiran Negeri bagi sebarang tindakan yang dianggap menjejaskan Parti atau nama Parti sementara menunggu keputusan siasatan.
    3. Ahli yang digantung keahlian akan dipanggil oleh Jawatankuasa Tatatertib untuk mendapatkan penjelasan mengapa ia tidak perlu dipecat oleh Parti. Jawatankuasa Tatatertib akan menentukan keputusan sama ada memecat atau mengenakan tindakan tatatertib, mengikut mana-mana yang perlu.
    4. Mana-mana ahli yang tidak puas hati dengan keputusan Jawatankuasa Tatatertib boleh membuat rayuan secara bertulis kepada Jawatankuasa Pusat dalam masa empat belas (14) hari selepas keputusan dimaklumkan kepada ahli berkenaan. Keputusan Jawatankuasa Pusat adalah muktamad, jika tiada rayuan lanjut.
    5. Mana-mana ahli yang tidak puas hati dengan keputusan Jawatankuasa Pusat boleh membuat rayuan secara bertulis kepada Kongres Nasional dalam masa empat belas (14) hari selepas keputusan dimaklumkan kepada ahli berkenaan. Keputusan Kongres Nasional adalah muktamad dan tidak boleh dibawa kepada mana-mana Mahkamah.

 

FASAL 10 KONGRES NASIONAL

    1. Kongres Nasional adalah badan tertinggi dalam parti yang menentukan apa yang harus menjadi tugas dan tanggungjawab parti dan Jawatankuasa Pusat. Ia mentakrifkan program politik parti dan memberi keputusan muktamad berhubung organisasi, strategi, taktik dan sebarang pindaan untuk Perlembagaan. Jawatankuasa Pusat dipilih oleh Kongres Nasional.
    2. Kongres Nasional diadakan sekali setiap tahun. Mesyuarat khas, selain Kongres Nasional, dalam tahun yang sama boleh diadakan atas permintaan dua pertiga ahli Jawatankuasa Pusat atau satu pertiga daripada jumlah semua Cawangan dengan syarat cawangan-cawangan itu telah mengadakan mesyuarat khas Cawangan atas perkara yang sama.
    3. Kongres Nasional harus memilih seorang Speaker untuk mengendalikan mesyuarat yang mana Speaker juga mempunyai hak mengundi.
    4. Perwakilan ke Kongres Nasional adalah Ahli Jawatankuasa Pusat yang sedia ada dan perwakilan yang dipilih oleh Cawangan masing-masing.

 

 

 

 

 

FASAL 11 JAWATANKUASA PUSAT DAN SEKRETARIAT

    1. Jawatankuasa Pusat dianggotai seperti berikut:

    1. Pengerusi
    2. Timbalan Pengerusi
    3. Setiausaha Agung
    4. Timbalan Setiausaha Agung
    5. Bendahari
    6. Timbalan Bendahari
    7. Ahli Jawatankuasa (9 ahli)

 

    1. Pemilihan bagi Ahli Jawatankuasa Pusat diadakan setiap dua tahun dalam Kongres Nasional. Setiap ahli berhak bertanding semua jawatan. Ahli Jawatankuasa dipilih daripada perwakilan dalam Kongres Nasional.
    2. Jawatankuasa Pusat adalah badan tertinggi selepas Kongres Nasional. Ia memastikan pelaksanaan dasar yang diputuskan dalam Kongres Nasional dan menangani perkara-perkara penting dalam parti apabila Kongres Nasional tidak bersidang. Ia harus bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali sebulan.
    3. Bagi menjalankan tugas pentadbiran harian dan urusan perkara-perkara tergempar, sebuah Sekretariat ditubuhkan oleh Jawatankuasa Pusat dengan dianggotai oleh:

    1. Pengerusi,
    2. Timbalan Pengerusi,
    3. Setiausaha Agung,
    4. Bendahari
    5. Ahli Jawatankuasa (3 ahli)

    1. Sekretariat harus bermesyuarat sekerap yang mungkin dengan kuorum sekurang-kurangnya separuh daripada keahlian. Setiausaha, dengan kebenaran Sekretariat, boleh menjemput mana-mana ahli parti untuk menghadiri mesyuarat Sekretariat, dengan syarat ahli berkenaan tidak mempunyai hak untuk mengundi.
    2. Keputusan Sekretariat harus dilaporkan oleh Setiausaha dengan menyediakan minit mesyuarat kepada Jawatankuasa Pusat.

 

 

FASAL 12 TUGAS AHLI JAWATANKUASA PUSAT DAN SEKRETARIAT

    1. Pengerusi bertanggungjawab memanggil dan mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pusat, Mesyuarat Sekretariat dan mesyuarat-mesyuarat lain. Pengerusi bertanggungjawab menandatangani minit mesyuarat dan menjaga pentadbiran Parti, memastikan semua Ahli Jawatankuasa menjalankan tugas dan tanggungjawab, memegang amanah menjaga kepentingan Parti.
    2. Timbalan Pengerusi bertanggungjawab membantu Pengerusi. Apabila ketiadaan Pengerusi, Timbalan Pengerusi akan memangku jawatan Pengerusi dan menjalankan tugas dan tanggungjawab Pengerusi.
    3. Setiausaha Agung bertanggungjawab menjalankan tugas mengikut arahan Pengerusi dan Jawatankuasa Pusat dan Sekretariat dan apabila diarahkan oleh Jawatankuasa Pusat atau Sekretariat, Setiausaha Agung berhak memanggil mesyuarat. Setiausaha Agung bertanggungjawab menyimpan rekod semua mesyuarat, surat-menyurat, dokumen dan sebarang dokumen berkaitan, menyelenggara buku daftar ahli, menyediakan dan mengemukakan laporan kepada Jawatankuasa Pusat dan Sekretariat serta Kongres Nasional.
    4. Timbalan Setiausaha Agung bertanggungjawab membantu Setiausaha. Apabila ketiadaan Setiausaha, Timbalan Setiausaha akan memangku jawatan Setiausaha dan menjalankan tugas dan tanggungjawab Setiausaha.
    5. Bendahari bertanggungjawab menerima yuran, menyimpan buku akaun dan menjaga amanah kewangan Parti serta menyediakan dan mengemukakan laporan kewangan kepada setiap mesyuarat Jawatankuasa Pusat dan Sekretariat dan Kongres Nasional.
    6. Timbalan Bendahari bertanggungjawab membantu Bendahari. Apabila ketiadaan Bendahari, Timbalan Bendari akan memangku jawatan Bendahari dan menjalankan tugas dan tanggungjawab Bendahari.
    7. Ahli Jawatankuasa biasa akan diberi tugas-tugas yang bersesuaian oleh Jawatankuasa Pusat.

 

FASAL 13 CAWANGAN

    1. Cawangan Parti boleh ditubuhkan dengan mempunyai sekurang-kurangnya lima belas (15) ahli dan penubuhannya perlu disahkan oleh Jawatankuasa Pusat.
    2. Jawatankuasa Pusat juga mempunyai kuasa untuk membatalkan Cawangan jika ahlinya kurang daripada lima belas (15) orang dalam tempoh enam (6) bulan berturut-turut atau jika dianggap melanggar Perlembagan dan peraturan Parti atau keputusan Jawatankuasa Pusat.
    3. Mesyuarat tahunan Cawangan harus memilih seorang

    1. Pengerusi
    2. Naib Pengerusi
    3. Setiausaha
    4. Bendahari
    5. Ahli Jawatankuasa (3 ahli)

    1. Mesyuarat tahunan Cawangan, bagi setiap dua tahun, harus memilih satu (1) orang perwakilan bagi setiap lima (5) ahli untuk peringkat Kongres Nasional. Mereka akan menjadi perwakilan bersama dengan Pengerusi dan Setiausaha Cawangan.
    2. Tugas Jawatankuasa Cawangan adalah menguruskan hal-ehwal Cawangan mengikut Perlembagaan, Sekretariat, Jawatankuasa Pusat dan Kongres Nasional, serta mengemukakan cadangan-cadangan kepada Sekretariat, Jawatankuasa Pusat dan Kongres Nasional.
    3. Jawatankuasa Cawangan bertanggungjawab mengadakan mesyuarat sekurang-kurangnya sebulan sekali dengan kuorum sekurang-kurangnya separuh jumlah Ahli Jawatankuasa. Notis tidak kurang dari satu minggu mesti diberi kepada ahli Jawatankuasa Cawangan. Ahli cawangan berhak menghadiri mesyuarat dan boleh bersuara tetapi tidak dibenarkan mengundi. Minit mesyuarat perlu disediakan oleh Setiausaha Cawangan dan dikemukakan kepada Setiausaha Agung tidak lewat dari empat belas (14) hari selepas mesyuarat diadakan.

 

FASAL 14 TUGAS AHLI JAWATANKUASA CAWANGAN

    1. Pengerusi Cawangan bertanggungjawab mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan, Mesyuarat Bulanan Jawatankuasa dan mesyuarat-mesyuarat lain, menandatangani minit mesyuarat dan menjaga pentadbiran Cawangan, memastikan semua pemegang jawatan menjalankan tugas dan tanggungjawab, memegang amanah menjaga dokumen, buku, harta dan wang Cawangan dan berhak mendapatkan dokumen, buku, harta dan wang untuk sebarang semakan dan penyelidikan.
    2. Naib Pengerusi Cawangan bertanggungjawab membantu Pengerusi. Apabila ketiadaan Pengerusi, Naib Pengerusi memangku jawatan Pengerusi dan menjalankan tugas dan tanggungjawab Pengerusi.
    3. Setiausaha Cawangan bertanggungjawab menjalankan tugas dan memanggil mesyuarat mengikut arahan Pengerusi atau Jawatankuasa Cawangan. Setiausaha bertanggungjawab menyimpan rekod semua mesyuarat, surat-menyurat, dokumen dan sebarang dokumen berkaitan, menyelenggara daftar ahli, menyediakan dan mengemukakan laporan kepada Jawatankuasa untuk Mesyuarat Agung Tahunan.
    4. Bendahari bertanggungjawab menerima yuran, menyimpan buku akaun dan menjaga amanah kewangan Cawangan serta menyediakan dan mengemukakan laporan kewangan kepada setiap mesyuarat Jawatankuasa Cawangan dan Mesyuarat Agung Tahunan Cawangan.
    5. Ahli Jawatankuasa biasa akan diberi tugas-tugas yang bersesuaian oleh Jawatankuasa Pusat

FASAL 15 KEWANGAN

    1. Semua wang Parti perlu disimpan oleh Bendahari dalam akaun Parti di bank yang diluluskan oleh Jawatankuasa Pusat. Semua wang yang diterima perlu disimpan dalam bank dalam masa tiga (3) hari selepas penerimaan ke dalam akuan Parti.
    2. Bendahari berhak memegang tidak lebih daripada RM500 wang tunai Parti untuk perbelanjaan pada satu-satu masa dan sebarang pengeluaran wang yang melebihi RM200 perlu mempunyai tandatangan Bendahari dan Pengerusi atau Setiausaha.
    3. Sebarang perbelanjaan melebihi RM1,000 tidak boleh dikeluarkan tanpa mendapat kelulusan Jawatankuasa Pusat. Bendahari juga bertanggungjawab menyediakan akaun Parti untuk keperluan Audit untuk dikemukakan kepada Kongres Nasional.
    4. Semua wang Cawangan perlu disimpan oleh Bendahari Cawangan dalam akaun Cawangan di bank yang diluluskan oleh Jawatankuasa Cawangan. Semua wang yang diterima perlu disimpan dalam bank dalam masa tiga (3) hari selepas penerimaan ke dalam akaun Cawangan.
    5. Bendahari Cawangan berhak memegang tidak lebih RM200 wang tunai cawangan untuk perbelanjaan pada satu-satu masa dan sebarang pengeluaran wang yang melebihi RM100 perlu mempunyai tandatangan oleh Bendahari dan Pengerusi atau Setiausaha.
    6. Sebarang perbelanjaan melebihi RM400 tidak boleh dikeluarkan tanpa mendapat kelulusan Jawatankuasa Cawangan. Bendahari juga bertanggungjawab menyediakan akaun cawangan untuk keperluan Audit untuk dikemukakan kepada Mesyurat Agung Tahunan.

FASAL 16 PEMERIKSAAN KIRA-KIRA

    1. Kongress Nasional perlu melantik seorang akauntan bertauliah atau syarikat akauntan bertauliah sebagai juruaudit untuk memeriksa kira-kira wang dan harta Parti
    2. Kongress Nasional juga perlu melantik dua orang juruaudit yang terdiri daripada ahli parti bagi memeriksa kira-kira wang dan harta Parti dan semua cawangan

FASAL 17 TAFSIRAN UNDANG-UNDANG

    1. Di antara berlangsungnya Kongres Nasional, Jawatankuasa Pusat boleh memberi tafsirannya kepada undang-undang ini dan Jawatankuasa Pusat, jika mustahak, boleh memutuskan perkara-perkara yang tidak terkandung di dalam undang-undang ini.
    2. Kecuali perkara-perkara yang bertentangan atau tidak selaras dengan dasar yang telah dibuat dalam mesyuarat agung, keputusan Jawatankuasa Pusat adalah muktamad jika tidak diubah oleh keputusan Kongres Nasional.

 

FASAL 18 PINDAAN UNDANG-UNDANG

    1. Perlembagaan ini atau sebarang bahagian daripadanya boleh dipinda atau dimansuhkan dengan mengadakan Kongres Nasional atau Kongres Nasional Khas mengikut FASAL 10(2).
    2. Permindahan Perlembagaan adalah tertakluk kepada keputusan majoriti dua pertiga daripada ahli yang menghadiri Kongres Nasional untuk membolehkan pindaan atau pemansuhan sebarang bahagian daripada Perlembagaan.

FASAL 19 MEMBUBARKAN PARTI

    1. Parti boleh dibubarkan secara sukarela melalui ketetapan oleh tidak kurang daripada tiga-perempat (3/4) jumlah semua ahli Parti. Jika Parti dibubarkan mengikut peruntukan di atas, semua hutang dan tanggungan Parti akan dilupuskan, dan sebarang baki akan diselesaikan dengan cara yang ditentukan oleh Kongres Nasional.

TAMAT

Click for Home

© 2000 Parti Sosialis Malaysia. Webspace developed by the Sasquatch Monkey Co..