Make your own free website on Tripod.com

Parti Sosialis Malaysia - Click for Home

Perutusan Hari Merdeka PSM

MERDEKAKAH KITA?

Malaysia sekali lagi menyambut ulangtahun kemerdekaan. Tanggal 31 Ogos amat bermakna bagi setiap rakyat di negara ini. Dalam mencari makna yang tepat, kita perlu menilai semula erti dan isi kemerdekaan.

Bagi Parti Sosialis Malaysia (PSM), kemerdekaan bererti bebas dan berdikari. Merdeka adalah sesuatu yang suci yang harus dipertahankan oleh setiap rakyat di negara ini kerana ia menggambarkan pembebasan yang tidak lagi digugat penjajahan.

PSM melihat bahawa Malaysia tidak akan maju dan membangun seperti yang dilihat hari ini jika bukan kerana tulang empat kerat pekerjanya.

Pekerja-pekerja Malaysia dari semua kaum dan agama, malah termasuk pekerja asing, sejak dulu lagi, telah membangunkan infrastruktur fizikal yang >terpampang di hadapan kita.

Tetapi kenapakah ahli-ahli korporat atau gelaran sebenar mereka - kapitalis atau pemilik modal - yang digembar-gemburkan atau diagung-agungkan sebagai penggerak pembangunan negara?

Apakah rakyat Malaysia tidak sedar bahawa majoriti penduduk Malaysia adalah kaum pekerja? Apakah rakyat sudah lupa kerana terlalu taksub dengan sentimen perkauman dan sentimen agama yang sengaja diwujudkan untuk melaga-lagakan pekerja Malaysia.

PSM ingin mengingatkan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama supaya kembali merenung sejarah kemerdekaan negara agar dapat dijadikan pedoman untuk perjuangan hari ini dan esok. Jika pekerja-pekerja, petani-petani, pelajar-pelajar, peruncit-peruncit dan mereka yang serba daif dalam mencari nafkah hidup membiarkan diri terus ditipu oleh pemimpin-pemimpin politik dan kapitalis-kapitalis kaya, maka sehingga bila pun, erti dan isi kemerdekaan tidak akan tercapai.

Apa gunanya kita merdeka jika Malaysia bukan milik kita. PSM ingin menegaskan sekali lagi: Apa gunanya kita merdeka jika hanya segelintir kapitalis menguasai hidup kita.

PSM tidak pernah mempedulikan sama ada kapitalis itu Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban, sama ada kapitalis itu beragama Islam, Kristian, Buddha, Hindu, sama ada kapitalis itu orang tempatan atau orang luar. Prinsipnya ialah setiap kapitalis hanya mengutamakan keuntungan.

Sama ada pekerja ditindas, menderita, diperkotal-katikkan, dihina atau diburuklakukan sewenang-wenangnya, kapitalis tidak mempedulikan itu semua. Yang penting untung dan terus untung.

Maka, sempena tahun ke-43 Malaysia merdeka, PSM menyeru setiap rakyat supaya berfikir sejenak. Benarkah kita merdeka sepenuhnya, atau kita sekadar tumpang gembira atas penindasan kapitalisme terhadap diri kita sendiri.

PSM berharap rakyat Malaysia menilai semula diri mereka. Apakah kita mahu terus dipecah-perintahkan oleh kaum dan agama? Apakah kita akan terus membenci seseorang kerana kaum dan agamanya? Apakah kita hanya menyokong seseorang kerana kaum dan agamanya?

Selagi kita tidak keluar dari belenggu pemikiran feudal, perkauman dan keagamaan yang sempit, selagi itulah kerajaan - walau dari apa parti sekali pun - boleh memecahbelahkan perpaduanm rakyat dengan menggunakan isu kaum dan agama.

Selagi rakyat berpecah, selagi itulah pemimpin-pemimpin kerajaan boleh terus bersekongkol dengan kapitalis untuk terus mengeksploitasi kekayaan dan ekonomi negara. Hasilnya, negara kaya, rakyat terus miskin. Apabila rakyat miskin, wang mudah sahaja membeli jiwa dan raga rakyat.

Merdekakah kita?

PSM sekali lagi mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerderkaan Malaysia ke-43. Semoga Alaf Baru memberi harapan dan semangat baru untuk rakyat berjuang menentang penindasan dan kezaliman.

Merdeka Malaysia seharusnya memberi erti rakyat bebas dari penindasan dan kezaliman. Merdeka itu adalah kebebasan, keadilan, demokrasi dan hak sama rata untuk setiap rakyat. Tidak ada tempat untuk perkauman dan keagamaan sempit dalam Malaysia yang benar-benar merdeka.

Salam Hari Merdeka kepada semua pekerja Malaysia.

S.Arutchelvan
Setiausaha Agung

Click for Home

© 2000 Parti Sosialis Malaysia. Webspace developed by the Sasquatch Monkey Co..