Mana Hitam-putih:
MB Perak dicabar
5.9.2000, Ipoh
Hari ini, lebih enam ratus penduduk daripada Kampung Baru
Kuala Kuang berhampiran pekan Chemor di Perak membanjiri
Pejabat Menteri Besar Perak, Dato Seri Tajol Rosli.
Mereka datang beramai-ramai setelah bosan menanti satu
surat hitam-putih yang dijanjikan oleh Menteri Besar
Perak pada bulan Mac 2000.
Para penduduk Kuala Kuang ini sejak hampir dua tahun
memperjuangkan agar satu kilang memproses getah dipindahkan
daripada kawasan perumahan mereka kerana kilang tersebut
mengeluarkan bau busuk sehingga menganggu kehidupan dan
mengancam kesihatan mereka.
Setelah berkempen untuk sekian lama, akhirnya mereka mendapat
sedikit harapan apabila Menteri Besar Perak yang baru dilantik
menjanjikan pada 8.3.2000 bahawa kilang tersebut akan dipindahkan
dalam masa dua tahun dan para penduduk akan diberitahu melalui
surat rasmi.
Para penduduk terus menunggu surat yang dijanjikan oleh MB. Para
penduduk juga menghantar empat surat untuk mengingatkan Menteri B
esar akan janji memberikan surat tetapi tidak berhasil.
Pada 23.5.2000, mereka telah sekali berjumpa dengan MB yang sekali
lagi berjanji akan memberikan surat dengan segera. Namun demikian,
surat yang dinanti tak sampai juga.
Akhirnya penduduk setelah bermesyuarat pada hari Ahad memutuskan
untuk membuat satu bantahan pada hari ini.
Para penduduk sejak 9 pagi telah membanjiri kawasan hadapan pejabat
Menteri Besar. Namun demikian mereka diberitahu bahawa MB Perak
tidak ada kerana pergi ke Korea. Mereka terkejut kerana baru semalam,
mereka diberitahu MB akan berada di Pejabat.
Turut bersama memberi sokongan ialah ahli-ahli Parti Sosialis Malaysia
(PSM). Setelah lama menunggu, akhirnya mereka telah ditemui oleh
Setiasusaha Sulit Kanan kepada Menteri Besar, Encik Karim dan Dato G.
Rajoo (ahli Exco negeri Perak).
Mereka berdua memberitahu bahawa mereka datang mewakili pihak MB.
Mereka berdua kemudian didesak untuk mengeluarkan surat hitam putih
yang dijanjikan.
Pihak penduduk juga menuntut tiga perkara iaitu:
- Surat rasmi kilang akan dipindah dan tarikh bila.
- Jabatan Alam Sekitar meletak satu Pejabat Sementera di kawasan tersebut
- Tanah disana digazet hanya untuk pertanian atau perumahan sahaja.
Dua orang wakil MB kemudian meminta maaf dan berjanji surat rasmi akan
dikeluarkan sebelum 9.9.2000.
Akhirnya penduduk bersurai pada jam lebihkurang 12 tengahari dengan satu
lagi janji baru.